"Mungkin ramai golongan wanita tidak senang bila membaca tajuk di atas. Tetapi itulah realiti. Memang itulah kenyataannya kerana Rasulullah saw tidak pernah berdusta. Hadis nabi saw bertaraf sahih menjelaskan perkara ini. Iaitu Hadis riwayat imam al-Bukhari dan Muslim, Rasulullah saw bersabda: “Aku melihat ke dalam syurga maka aku melihat kebanyakan penduduknya adalah fuqara (orang-orang fakir) dan aku melihat ke dalam neraka maka aku menyaksikan kebanyakan penduduknya adalah golongan wanita.
Sekiranya  anda seorang perempuan, anda tidak perlu risau. Ramai tidak bermaksud  tidak berpeluang langsung untuk masuk syurga. Hadis ini hanya  menerangkan majoriti penghuni neraka, bukan tiada langsung golongan  lelaki. Oleh itu berusahalah agar anda menjadi golongan yang berhak  menghuni syurga.
 Apakah sebab?
Persoalannya  apakah sebab ramai wanita jadi penghuni neraka? Rasulullah saw ada  bersabda dalam beberapa hadis yang menyatakan punca-punca permasalahan  ini. Antara penyebab-penyebabnya ialah :
1. Tidak bersyukur dan tidak menghargai  kebaikan suami
 Dalam sebuah kisah ketika Rasulullah saw dan para sahabatnya melakukan solat gerhana, Rasulullah S saw melihat Surga dan neraka.
Ketika  beliau melihat neraka beliau bersabda kepada para sahabatnya , “ … dan  aku melihat neraka maka tidak pernah aku melihat pemandangan seperti ini  sama sekali, aku melihat kebanyakan penduduknya adalah kaum wanita.  Shahabat pun bertanya, “Mengapa (demikian) wahai Rasulullah?” Beliau saw  menjawab, “Kerana kekufuran mereka.”
Kemudian  ditanya lagi, “Apakah mereka kufur kepada Allah?” Beliau menjawab,  “Mereka kufur terhadap suami-suami mereka, kufur terhadap  kebaikan-kebaikannya. Kalaulah engkau berbuat baik kepada salah seorang  di antara mereka selama waktu yang panjang kemudian dia melihat sesuatu  pada dirimu (yang tidak dia sukai) nescaya dia akan berkata, ‘Aku tidak  pernah melihat sedikitpun kebaikan pada dirimu.’ ” ( Imam al-Bukhari)
2. Mendedahkan aurat
Dalam hadis lainnya, Rasulullah Shalallahu ‘alaihi wassalam menjelaskan  tentang wanita penduduk neraka, beliau bersabda, “ … dan wanita-wanita  yang berpakaian tetapi hakikatnya mereka telanjang, melenggak-lenggokkan  kepala mereka kerana sombong dan berpaling dari ketaatan kepada Allah  dan suaminya, kepala mereka seakan-akan seperti bonggol unta. Mereka  tidak masuk Surga dan tidak mendapatkan wangian syurga padahal  wangiannya dapat dihidu dari jarak perjalanan sekian dan sekian.” (Imam  Muslim)
Jalan Penyelesaian
1.  Untuk selamatkan diri dari tergolong dalam penghuni neraka maka anda  (para isteri) hendaklah berusaha untuk mengenang jasa dan berterima  kasih terhadap kebaikan suami. Taatilah mereka dan bersyukurlah dengan  apa yang ada. Jangan menafikan beribu kebaikan suami hanya kerana satu  kekurangan yang ada pada dirinya.
2.  Tutuplah aurat dengan sempurna. Jangan jadi seperti dalam hadis,  ‘berpakaian tetapi bertelanjang’. Pada hari ini ramai yang menutup  kepala tetapi memakai pakaian yang nipis, ketat sehingga menampakan  susuk tubuh dan macam-macam lagi fesyen yang tidak memenuhi konsep  menutup aurat yang sebenar.
3. Jaga solat, puasa dan kehormatan diri.
Terdapat satu hadis yang menerangkan berita baik bagi wanita iaitu hadis yang bermaksud :
“Perempuan  apabila solat lima waktu, puasa di bulan Ramadan, memelihara  kehormatannya serta taat kepada suaminya, maka masuklah dia akan syurga  mana-mana pintu yang dikehendakinya.”( Ibn Hibban,disahihkan oleh  al-Albaniy)
4. Perbanyakkan bersedekah
Ini berdasarkan hadis yang bermaksud :
Ketika  beliau selesai khutbah hari raya yang menyuruh untuk bertakwa kepada  Allah Subhanahu wa Ta’ala dan anjuran untuk mentaati-Nya. Beliau pun  bangkit mendatangi kaum wanita, beliau menasihati mereka dan  mengingatkan mereka tentang akhirat kemudian beliau bersabda, “Hendaklah  kamu bersedekah! Kerana kebanyakan kamu adalah kayu bakar neraka  Jahanam!” Maka berdirilah seorang wanita yang duduk di antara  wanita-wanita lainnya yang berubah kehitaman kedua pipinya, dia  bertanya, “Mengapa demikian, wahai Rasulullah?” Beliau menjawab, “Kerana  kamu banyak mengeluh dan kalian kufur terhadap suami!” (Imam  al-Bukhari)
Dalam hadis yang lain baginda saw bersabda :
Selamatkanlah diri kamu dari neraka walaupun hanya ( bersedekah) dengan secebis kurma. (Imam al-Bukhari)
Semoga kita semua dirahmati oleh Allah dan ditempatkan di syurgaNya di akhirat kelak.

 
 

No comments:
Post a Comment