Saturday, June 20, 2015

SME Bank Patuh Syariah

SMALL Medium Enterprise Development Bank Malaysia Berhad, atau SME Bank mencapai sasarannya untuk menjadi sebuah Institusi Kewangan Pembangunan (IKP) patuh Syariah.

Setakat ini, portfolio kewangan Islam SME Bank sebanyak 86.5 peratus iaitu RM4.31 bilion.

SME Bank mensasarkan pencapaian 90 peratus portfolio kewangan Islam menjelang Disember 2015. Portfolio kewangan Islam SME Bank di awal penubuhannya pada Oktober 2005 adalah sekitar 15 peratus.

Keputusan untuk menjadi IKP patuh Syariah adalah tepat pada masanya memandangkan industri Kewangan dan Perbankan Islam menjadi instrumen kewangan utama di peringkat global. Perkara ini terbukti melalui Laporan World Islamic Banking Competitiveness Report 2014-2015, participation Bank 2.0.

Laporan tersebut menyatakan, aset Kewangan dan Perbankan Islam di peringkat global menunjukkan kadar pertumbuhan tahunan kompaun (CAGR) sebanyak 17 peratus daripada 2009 sehingga 2013. 

Dari segi nilai, aset kewangan Islam di peringkat antarabangsa di bank komersil ditetapkan melebihi AS$778 bilion (RM2,893 trilion) pada 2014.

Pengarah Urusan Kumpulan SME Bank, Datuk Mohd Radzif Mohd Yunus berkata, pengurusan Bank mengambil pendekatan menyeluruh dalam merancang dan melaksanakan transformasi ini.

"Fokus utama termasuk memastikan kakitangan mendapat pendedahan dan pengalaman secukupnya bagi menguruskan portfolio kewangan Islam SME Bank.

Berpandukan faktor ini, pihak Bank melalui anak syarikatnya Centre for Entrepreneur Development and Research Sdn Bhd (Cedar) bekerjasama dengan IBFIM untuk membangun dan melaksanakan program latihan Chartered Islamic Development Banker (ChIDB),” katanya.

Katanya, sebagai program pertama seumpamanya dalam industri ini, ChIDB disasar melahirkan pegawai dan eksekutif  terlatih diperlukan dalam industri kewangan Islam.

"Seramai 487 kakitangan SME Bank telah lulus peringkat pertama Certified Islamic Development Banker (CIDB) dan seramai 202 kakitangan lulus peringkat kedua Professional Islamic Development Banker (PIDB).

"Daripada jumlah ini seramai, 296 kakitangan SME Bank menjadi kumpulan pertama menamatkan program ini. Pihak Bank juga memberi tumpuan terhadap pejabat pentadbirannya bagi memastikan kelancaran proses peralihan Bank menjadi ke IKP patuh Syariah sepenuhnya,” katanya.

Beliau berkata, proses meyakinkan pelanggan untuk berpindah ke Kewangan Islam adalah mudah.

"Hal ini kerana konsep kewangan Islam menjamin kesaksamaan kepada semua pelanggan dan transaksinya," katanya.

"Walau bagaimanapun, pihak Bank tetap mengambil langkah bersepadu bagi meyakinkan para pelanggan untuk memindahkan akaun mereka menjadi akaun patuh Syariah sepenuhnya," katanya.

Tambah beliau, perhubungan dengan pelanggan yang berterusan juga diadakan di samping menawarkan proses penukaran percuma, pengekalan jumlah pembayaran balik dan juga terma dan syarat pembiayaan. 

"Usaha-usaha ini telah membuahkan hasil apabila peratus pertukaran akaun adalah tinggi. Semua usaha ini bersama-sama dengan produk Bank yang berkualiti tinggi, kompetitif dan inovatif semestinya menyokong aspirasi kerajaan dalam menjadikan Malaysia sebagai hub kewangan Islam antarabangsa yang utama," katanya.

Rujukan

No comments:

Post a Comment

Like This Blog

Anda Juga Meminati :

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...