[SH] TAIPING – Seorang lelaki maut selepas terjatuh ke dalam mesin pengisar tandan kelapa sawit di sebuah kilang di Kampung Padang Gajah, di sini semalam.
Lebih malang, mayatnya terpaksa diangkat dan dimasukkan ke dalam beberapa beg plastik kerana keseluruhan badannya hancur.
Ketua  Polis Daerah Taiping, Asisten Komisioner Yusof Mohd Diah berkata,   mangsa, Shuhaimi Mohamad Ariffin, 38, mati di tempat kejadian akibat   kecederaan parah pada seluruh bahagian badan.
Menurutnya, dalam kejadian kira-kira jam 8.30 pagi itu, mangsa dipercayai telah menutup suis mesin berkenaan untuk dicuci.
“Bagaimanapun, secara tiba-tiba mesin berkenaan bergerak dan menyebabkan mangsa tergelincir lalu jatuh ke dalam mesin tersebut.
“Hanya  mangsa berada di dalam kilang ketika kejadian sebelum disedari  rakan  sekerja mangsa yang berada di luar kilang yang mendengar  jeritannya,”  katanya.
Yusof berkata, difahamkan seorang pekerja warga Bangladesh cuba memberhentikan mesin untuk menarik mangsa keluar tetapi gagal.
Beliau  berkata, mayat mangsa dikeluarkan pasukan jabatan bomba dan  penyelamat  yang bergegas ke tempat kejadian selepas menerima laporan.
Difahamkan, anggota bomba mengambil masa satu jam untuk keluarkan mayat mangsa yang hancur dalam mesin berkenaan.
“Mayat  kemudian dihantar ke Hospital Taiping untuk bedah siasat dan  polis  mengklasifikasikan kes itu sebagai mati mengejut,” katanya.
Sementara  itu, abang mangsa, Azimi Mohamad Ariffin, 39, berkata, dia  hanya  mendapat tahu mengenai kejadian yang menimpa adiknya itu pagi tadi   (semalam) selepas dimaklumkan penduduk kampung.
“Saya  terus ke tempat kejadian untuk melihat keadaan adik, namun dia  tidak  dapat diselamatkan kerana mengalami kecederaan parah di seluruh  badan,”  katanya.

No comments:
Post a Comment