Risiko air ketuban pecah
Risiko air ketuban kurang dan pecah
22 Jun 2012
Semakin hari, semakin kuat debaran Hajar menanti detik bayi keempatnya
yang dijangka dilahirkan tanggal 27hb. Namun, sehari, dua hari sehingga
seminggu berlalu meninggalkan tarikh jangkaan itu, tiada tanda-tanda
Hajar bersalin.
Debaran Hajar semakin kencang. Ada masalahkah kandungannya? Soalan itu
berselang-seli dengan debaran yang terus melanda diri. Segala persiapan
sudah dibuat jika kemungkinan dia akan bersalin bila-bila masa.
Akhirnya, setelah lebih seminggu berlalu, barulah Hajar menunjukkan
tanda-tanda sakit bersalin. Walau bagaimanapun, disebabkan kekurangan
air ketuban, Hajar terpaksa menjalani kelahiran secara pembedahan
berbanding tiga orang anaknya yang dilahirkan secara normal.
Pengalaman sebegini mungkin kerap dialami terutama bagi ibu yang
melahirkan anak sulung. Walau bagaimanapun, ia mungkin dianggap perkara
biasa justeru tidak ramai mengetahui pentingnya air ketuban serta risiko
yang dialami sekiranya kekurangan air ketuban.
Air ketuban merupakan cecair yang berasal daripada rembesan kulit bayi
dan produk air kencing bayi yang mengelilingi bayi semasa dalam
kandungan ibu. Biasanya bersifat jernih dan tidak berwarna, tetapi boleh
bertukar menjadi warna kepada kehijau-hijauan atau kecoklatan sekiranya
bercampur dengan najis janin.
Antara sifat air ketuban ialah tidak pekat seperti lelehan faraj dan
tidak berbau sebagaimana air kencing, sebaliknya ia bersifat cecair dan
cepat membasahi atau meleleh apabila terpecah.
Air ketuban akan terus memenuhi kantung rahim sepanjang tempoh
kehamilan. Fungsinya sangat penting. Antaranya ialah mengisi ruang
perantara di antara janin, tali pusat dan dinding rahim bagi membantu
penyerapan kesan hentakan luar (trauma kemalangan), menyerap kesan
himpitan sekiranya berlaku pengecutan rahim, selain daripada
menstabilkan suhu persekitarannya. Kepentingannya yang lain ialah
bertindak sebagai lapisan pendinding kepada jangkitan dan memberi ruang
kepada bayi dalam kandungan untuk menggerakkan anggota tubuh iaitu kaki
dan juga tangannya.
Air ketuban juga boleh pecah sama ada secara sendiri mahupun menerusi
prosedur tertentu. Salah satu penyebab kepada ketuban pecah ialah
prosedur memecahkan kantung ketuban yang biasanya dilakukan oleh doktor
sewaktu ibu hamil mengalami kontraksi.
Selain itu, air ketuban yang terlalu berlebihan pula boleh menyebabkan
rahim menjadi terlalu tegang dan tidak dapat menahan tekanan di dalamnya
lalu pecah. Malah, kelainan sifat tegar selaput ketuban yang
menjadikannya lemah juga boleh menyebabkannya mudah bocor.
Risiko ketuban pecah mungkin boleh terjadi sewaktu atau sejurus selepas
kebocoran terutamanya kepada ibu hamil yang mempunyai masalah
polihidramnios dan kedudukan janin tidak normal. Tali pusat boleh jatuh
ke dalam faraj hingga menjadi punca kepada penyebab bayi lemas.
Kebiasaannya tindakan segera akan diambil doktor dengan melakukan
pembedahan Caesarean bagi mengeluarkan bayi.
Uri boleh lekang daripada terus melekat pada dinding rahim disebabkan
faktor perubahan tekanan yang berlaku secara mendadak akibat daripada
kebocoran besar seperti di dalam kes polihidramnios. Apabila ini
berlaku, ibu hamil juga boleh kehilangan darah dalam jumlah yang banyak
dan pada masa yang sama boleh membahayakan keselamatan bayi yang
dikandung.
Risiko-risiko lain yang boleh berlaku termasuk jangkitan kuman
(chorioamnionitis) jika ketuban pecah melebihi 24 jam. Kuman boleh
menjangkiti air ketuban dan janin melalui faraj serta boleh
mengakibatkan pneumonia. Ia juga boleh memasuki aliran darah janin dan
ibu (sepsis).
Kedudukan janin boleh kekal tidak normal kerana kekurangan atau
ketiadaan air ketuban bagi memberi ruang untuk janin bergerak dan
membetulkan kedudukannya. Sindrom aspirasi meconium pula boleh terjadi
di mana kandungan air ketuban yang sedikit menyebabkan najis janin tidak
cair dan meningkatkan risiko terhadap bayi jika najis memasuki ruang
pernafasannya.
Oleh itu, air ketuban yang keluar tidak harus dipandang ringan.
Sekiranya anda mengesyaki air ketuban keluar sebelum tiba waktunya,
segeralah berjumpa doktor untuk mendapatkan pengesahan dan menjalani
rawatan susulan.
Informasi :
Oligohydramnios (kekurangan air ketuban),
Antara risikonya:
1. Janin berkemungkinan lemas akibat gangguan aliran darah dan oksigen daripada ibu kepadanya apabila tali pusat terhimpit.
2. Penyempitan ruang dalam rahim boleh mengganggu pembentukan
paru-paru, menyebabkan kecacatan pada anggota kaki serta kedudukan janin
tidak normal.
3. Kelahiran pramatang dan komplikasi berkaitannya boleh berlalu
seperti kesukaran pernafasan (respiratory distress syndrome), masalah
usus (nectrotizing enterocolitis), pendarahan otak (intraventricular
haemorrhagel) dan jangkitan darah (septicaemia).
4. Kematian sebelum lahir (mati dalam rahim).